Anda Pengunjung Ke :

Tuesday 9 January 2018

Istana Bandar dan Masjid DiRaja Sultan Ala'eddin.

Pandangan hadapan Istana Bandar.

Pada 9 Januari 2018, Editor Warisan Permaisuri Melayu berkesempatan melawat Jugra, bandar diraja bagi Negeri Selangor semasa era pemerintahan Almarhum Sultan Selangor Ke-4, Sultan Sir Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah yang memerintah selama 41 tahun (1857-1898). Terdapat 2 buah istana di Jugra iaitu Istana Jugra dan Istana Bandar. Istana Jugra siap dibina pada tahun 1875 dan Sultan Abdul Samad berpindah ke istana ini. Namun, Istana Jugra hanya tinggal tapak dan sisa runtuhan pada hari ini. 

ISTANA BANDAR.

Gambar lama pemandangan Istana Bandar pada tahun 1910.

Istana Bandar atau Istana 40 Bilik terletak di atas tanah seluas 12.60 ekar. Nama sebenar Istana ini adalah Istana Ala'eddin. Kedudukan istana ini dibina bersebelahan dengan Masjid Ala'eddin, Kampung Bandar, Jugra. Istana ini dibina secara berperingkat semasa pemerintahan Almarhum Sultan Selangor Ke-5 Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah Al-Haj Ibni Almarhum Raja Muda Musa yang memerintah selama 40 tahun (1898-1938). Ketika itu, Jugra merupakan bandar diraja sebelum berpindah ke Klang. Ilham pembinaan dan dana untuk membina istana ini datang sepenuhnya daripada Almarhum baginda sendiri. Semenjak ditabalkan secara rasminya dan bersemayam di Istana Mahkota Puri, Klang, pada tahun 1903, Almarhum sering berkunjung ke Kampung Bandar untuk beribadah dan selalu membacakan khutbah Jumaat dan khutbah hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha disamping menemui isteri baginda di Istana ini. Baginda bersemayam di Istana ini selama 35 tahun sehingga kemangkatan baginda pada tahun 1938. Selepas kemangkatan baginda, istana ini dibiarkan kosong. Istana ini pernah dijadikan Pusat Tahfiz dan Pusat Kraftangan Daerah, namun kembali dikosongkan pada tahun 2006. Demi menjaga kepentingan bangunan ini, beberapa buah agensi kerajaan seperi Kerjaan Negeri Selangor (1990), dan Jabatan Warisan Negara (2008-2009) telah melakukan kerja-kerja pemulihan untuk mengekalkan ciri-ciri asal istana ini. 


Istana Bandar ini mempunyai sentuhan seni bina gabungan moden dan tradisional. Istana ini menampilkan 3 bahan asas iaitu kayu, batu dan konkrit. Strukur bangunan hampir kesemuanya daripada batu bata dan motar kapur, lantai tingkat atas dan tangga diperbuat dari kayu cengal, sementara lantai di bahagian bawah pula diperbuat dari konkrit. Bahan binaan bumbungnya pula diperbuat dari atap genting dan disusun berlapis-lapis dengan ketinggian berbeza, ia disusun sedemikian rupa kerana ia melambangkan hirarki struktur pentadbiran dalam istana. Istana ini turut dilengkapi astaka atau anjung yang lengkap dihiasai pelbagai ukiran antaranya termasuklah tunjuk langit dan cucur atap. Istana ini turut menampilkan hiasan ukiran kayu pada tiang dinding, jendela dan pintu. Ukiran kerawang tebuk tembus dan kayu bersilang merupakan hiasan panel yang menyeri sebahagian ruangan dalaman istana. 



Istana Bandar merupakan salah sebuah istana tercantik dari segi seni binanya. Ia merupakan salah satu istana Raja Melayu tertua dan masih dalam reka bentuknya yang asal. Elemen Moorish India pada hiasan dan genting bumbung. Manakala pengaruh Cina dan Barat pula pada bentuk tiang, hiasan tingkap, jenis pintu dan sistem binaan. Namun seni bina istana ini masih mengekalkan ragam hias dan karekter rumah Melayu bumbung limas. Selain senibina dalaman yang menarik, istana ini juga menampilkan landskap yang menarik, disamping binaan kolam-kolam air dihadapan dan dalam istana. 

Kerja pembaikan sedang dijalankan di Istana Bandar.

Bahagian dalam istana.





Antara jambatan yang menghubungkan bilik-bilik yang ada.





Antara kolam yang terdapat dalam ruang dalam istana.











MASJID DIRAJA SULTAN ALA'EDDIN.


Masjid DiRaja Sultan Ala'eddin mengambil sempena nama Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa. Masjid ini terletak kira-kira 200 meter dari Istana Bandar. Buat masa ini, kerja pembinaan sedang dijalankan di masjid ini. Maka, pengunjung tidak dapat memasuki ruangan dalam masjid ini. Masjid ini dibina sekitar tahun 1903 hingga 1905 dan dirasmikan oleh Almarhum Sultan Sir Ala'eddin pada tahun 1906. Reka bentuk dan senibina masjid ini menerima pengaruh daripada Kesultanan Deli, Medan, Sumatera. Masjid ini juga menerima pengaruh senibina Moorish India dan Mughal . Mimbar yang terdapat dalam masjid ini sering digunakan oleh Almarhum Sultan Ala'eddin untuk memberi khutbah Jumaat dan khutbah hari raya. 


No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...