Anda Pengunjung Ke :

Wednesday 9 August 2017

YAM Tengku Aris Temenggong Selangor Tengku Muhammad Yusuf Shah AlHaj.

Yang Amat Mulia Tengku Aris Temenggong Selangor Darul Ehsan
Tengku Dato' Setia Muhammad Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah AlHaj,
D.K. II, S.S.I.S., S.M.S., P.J.K.


Yang Amat Mulia Tengku Aris Temenggong Selangor Darul Ehsan, Tengku Muhammad Yusuf Shah AlHaj merupakan kerabat diraja Selangor . Beliau berusia 91 tahun dan merupakan nenda saudara kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj. Beliau merupakan salah seorang daripada 25 putera Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah AlHaj Ibni Almarhum Raja Muda Musa.Anakanda-anakanda Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah berjumlah 44 orang kesemuanya. Namun. adik beradik seibu sebapa dengan Tengku Muhammad Yusuf ialah 4 orang sahaja. Bonda beliau ialah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Selangor Tengku Ampuan Fatimah Binti Almarhum Sultan Sir Idris Murshid Al-Azzam Rahmahtullah. Ayahanda dan bonda Tengku Muhammad Yusuf berkahwin pada tahun 1921. Tengku Ampuan Fatimah merupakan isteri ke 9 Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah, dimana Sultan Ala'ddin Sulaiman Shah berkahwin sebanyak 11 kali. Tengku Muhammad Yusuf diputerakan pada 28 April 1926. Beliau merupakan adinda sebapa kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-2 Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah AlHaj. Tengku Muhammad Yusuf diputerakan pada tahun yang sama dengan keputeraan anakanda saudara baginda iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj yang diputerakan sebulan lebih awal iaitu pada 8 Mac 1926.



Tengku Muhammad Yusuf merupakan kerabat negeri Selangor dan juga Perak. Beliau dikurniakan gelaran Yang Amat Mulia Tengku Aris Temenggong Selangor oleh ayahanda beliau pada tahun 1937. Ketika itu beliau baru sahaja berusia 11 tahun. Ini bermakna beliau telah memegang gelaran ini selama 80 tahun sehingga saat ini. Tengku Muhammad Yusuf memegang rekod sebagai kerabat bergelar paling lama memegang jawatan. Sebelum ini Almarhum Tunku Besar Burhanuddin Ibni Almarhum Tuanku Antah dari Negeri Sembilan merupakan kerabat bergelar yang memegang gelaran paling lama, iaitu memegang gelaran Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti selama 73 tahun. Tengku Muhammad Yusuf juga merupakan penyandang gelarang Temenggong pertama dalam sejarah kesultanan Selangor. 


Ketika berangkat ke Istiadat Pertabalan Raja Muda Selangor.

Tengku Muhammad Yusuf telah mendirikan rumah tangga dengan Yang Amat Mulia Raja Saidatul Ezam Binti Brigadier Jeneral (B) Raja Dato' Seri Lope Nur Rashid pada tahun 1953. Ayahanda mertua beliau merupakan Yang Teramat Mulia Raja Kechil Besar Perak Darul Ridzuan. Istiadat perkahwinan beliau diadakan di Istana Negara Lama dan dihadiri oleh kekanda beliau iaitu DYMM Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj. Perkahwinan ini direstui dengan 2 orang putera dan 8 orang puteri. Putera-putera beliau terdiri daripada YM Tengku Muhammad Sharifuddin dan YM Tengku Muhammad Yaacob. Manakala 8 orang puteri beliau terdiri daripada YM Tengku Nariman, YM Tengku Mulfi, YM Tengku Yasmin, YM Tengku Soraya, YM Tengku Zarina, YM Tengku Molek Nazarian, YM Tengku Zerah dan YM Tengku Farah. 



Tengku Muhammad Yusuf Shah bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang. Pada awalnya beliau ingin pergi ke England untuk berkhidmat dalam Angkatan Udara Diraja disana namun hasrat beliau tidak direstui oleh bonda beliau Almarhum Tengku Ampuan Fatimah. Pada tahun 1948, beliau berangkat ke England untuk melanjutkan pelajaran. Antara Raja Melayu dan Permaisuri yang bersama beliau di England adalah KDYMM Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Almarhum Sultanah Bahiyah, anakanda saudara beliau Almarhum Tengku Ampuan Bariah, KDYMM Sultan Haji Ahmad Shah, Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan Almarhum Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik. Kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1953 seterusnya berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Pada tahun 1957, beliau berkhidmat sebagai Sergeant At Arms di Dewan Mesyuarat Undangan Persektuan. Seterusnya beliau menjadi Setiausaha Sulit kepada Gabenor Pulau Pinang Almarhum Raja Sir Tun Uda yang merupakan kekanda ipar beliau. Kemudian beliau meletakkan jawatan untuk berkhidmat dalam Angkatan Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1958. Beliau telah menerima tauliah sebagai Juruterbang Angkatan Udara Diraja Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1958 ketika berusia 32 tahun.



Selaku kerabat terdekat kepada Sultan Selangor, Tengku Muhammad Yusuf Shah amat arif dalam hal ehwal berkaitan adat istiadat kesultanan Selangor. Beliau telah memainkan peranan penting dalam adat istiadat dalam istana Selangor. Selain itu, beliau juga merupakan salah seorang Ahli Dewan DiRaja Selangor. Sebagai Tengku Aris Temenggong Selangor dan nenda saudara kepada DYMM Sultan Selangor, Tengku Muhammad Shah telah dikurniakan Darjah Seri Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S.) yang membawa gelaran "Dato' Setia" oleh cucunda saudara beliau pada tahun 2002. Manakala pada tahun 2011, Tengku Muhammad Shah telah dikurniakan dengan Darjah Kerabat Selangor Kedua (D.K. II) bersempena dengan keputeraan cucunda saudara beliau yang ke 66 tahun. Isteri beliau, Raja Datin Setia Saidatul Ezam Binti Almarhum Raja Kechil Besar Raja Dato' Seri Lope Nur Rashid telah mangkat pada 16 Oktober 2014 pada usia 78 tahun. Kini, YAM Tengku Muhammad Yusuf Shah telah berusia 91 tahun, namun masih gagah berangkat ke istiadat dan majlis rasmi yang dihadiri oleh DYMM Sultan Selangor. Didoakan semoga YAM Tengku Muhammad Yusuf Shah diberikan kesihatan yang baik dan dilindungi Allah S.W.T. selalu. 


Masih berangkat ke istiadat negeri Selangor walaupun sudah berusia 91 tahun.

Bersama cucunda-cucunda saudara beliau. Dari kiri, YAM Tengku Indera Setia Tengku Ahmad Shah, YAM Tengku Panglima Besar Tengku Abdul Samad Shah, dan YAM Tengku Laksamana Tengku Sulaiman Shah.

Mengiringi cucunda saudara beliau.

Bersama cucunda saudara Sultan Sharafuddin Idris Shah, anakanda saudara Tengku Ismail Shah serta sebahagian Ahli Dewan DiRaja Selangor.

                       
Ayahanda dan bonda Tengku Muhammad Yusuf Shah, Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Fatimah.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...