Anda Pengunjung Ke :

Sunday 11 December 2016

Kenangan Agong Ke 14 : Angkat Sumpah Agong Ke-14

13 DISEMBER 2011


KUALA LUMPUR: Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’azam Shah  melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.

Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama ialah dari 21 Jan 1970 hingga 20 Sept 1975 semasa berusia 43 tahun. Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (Khas) di Istana Negara pada 14 Okt lepas untuk tempoh lima ta­hun berkuat kuasa semalam, bagi menggantikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan se­bagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 kelmarin.

Tuanku Abdul Halim bersama Sultan Azlan Shah, Tuanku Syed Sirajuddin, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan Sultan Muhammad V.

Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam ka­langan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara Mer­deka pada 31 Ogos, 1957. Istiadat semalam merupa­kan istiadat seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Is­lam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar, yang mula beroperasi pada 15 Nov lepas. Upacara bermula pada jam 11.15 pagi dengan Me­syuarat Majlis Raja-raja ke-227 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh baginda di Balairong Seri.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajud­din Putra Jamalullail. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Da­nial Syed Ahmad kemudian menyembah surat sumpah jawatan kepada Tuanku Abdul Halim, yang memakai pakaian diRaja Kedah yang dikenali sebagai ‘Sikap’ yang terdiri daripada jaket pen­dek, berbelah di hadapan dan berkolar tinggi lengkap dengan tenggolok, seluar, sampin dan bengkung serta berkeris. Baginda kemudian mela­fazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan itu di hada­pan Majlis Raja-Raja.
Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menjadi saksi. Istiadat semalam juga melibatkan upacara melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V. Ia diikuti bacaan doa dip­impin Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.


Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Da­nial Syed Ahmad kemudian memohon menangguhkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke suatu masa yang ditetap­kan.
Ini disusuli istiadat menan­datangani surat pengisytiharan memegang jawatan oleh Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, diikuti dengan pembacaan pengisytiharan tersebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Istiadat diteruskan den­gan Sultan Muhammad V menandatangani surat peng­isytiharan memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Najib membaca peng­isytiharan tersebut.


Istiadat semalam dihad­iri oleh Raja-Raja Melayu kecuali Terengganu yang diwakili Tengku Sri Te­menggong Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Turut hadir kesemua em­pat Yang di-Pertua Negeri, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet serta ketua-ketua jabatan. Istiadat yang disiarkan secara langsung oleh RTM1 diakhiri dengan bacaan doa dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh. Tuanku Abdul Halim ke­mudian menerima meng­hadap menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan yang diketuai oleh Najib di Bilik Seri Mahkota




Tuanku Abdul Halim melafazkan sumpah jawatan.

YTM Tengku Temenggong Terengganu, TYT Tun Juhar Mahiruddin, TYT Tun Abdul Rahman Abbas, DYMM Sultan Ibrahim, DYMM Sultan Sharafuddin, KDYMM Sultan Ahmad Shah, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin dan KDYMM Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.


DYMM Sultan Azlan Shah,DYMM Tuanku Muhriz, KDYMM Sultan Muhammad V, TYT Tun Khalil Yaakob, YTM Tunku Annuar, dan wakil TYT Tun Taib Mahmud.



No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...