Anda Pengunjung Ke :

Monday 21 September 2015

Penghormatan Terakhir Untuk Raja Puan Muda Kedah.

Tuanku Abdul Halim, Tuanku Haminah, Tuanku Zara serta kerabat diraja mengaminkan doa di hadapan jenazah Almarhum Tengku Raudzah.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah hari ini berangkat memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah Tengku Raudzah Sultan Hisamuddin di Istana Anak Bukit. Raja Puan Muda Kedah yang merupakan adinda ipar Seri Paduka mangkat pada pukul 10.15 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah pada usia 86 tahun. 

Istiadat Penghormatan Terakhir bermula pada pukul 4.00 petang hingga jam 5.00 petang. Jenazah Almarhum Tengku Raudzah disemayamkan di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit. Baginda disemayamkan di atas peterana tiga tingkat dan dikelilingi pegawai istana. Turut berangkat adalah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah. 

Turut sama berangkat ke Istana Anak Bukit ialah DYMM Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara, DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, serta Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah. Menteri Besar Kedah Dato' Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir turut hadir. Sebelum itu, Dato' Seri Mukhriz telah menyampaikan pengisytiharan Kemangkatan Raja Puan Muda Kedah dan mengumumkan negeri Kedah akan berkabung selama 7 hari bermula Isnin 21 September 2015. Solat jenazah telah diimamkan oleh Mufti Kedah Dato' Paduka Syeikh Ahmad Baderuddin Ahmad.


Suasana di Istana Anak Bukit apabila jenazah baginda dibawa ke dalam istana.

1 comment:

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...