Anda Pengunjung Ke :

Friday 24 April 2015

Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah,
D.K.,D.K.H.,D.M.K.,D.K.(Terengganu),D.K.II(Selangor),D.A.(Sarawak),S.P.M.K.,S.P.C.M.,S.P.M.J.,P.S.B.


Gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah Darul Aman merupakan gelaran untuk pewaris takhta utama bagi negeri Kedah. Penyandang bagi jawatan ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Tunku Haji Abdul Malik Ibni Almarhum Sultan Badlishah. Baginda berada di kedudukan ketiga selepas Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Sultanah Kedah Darul Aman mengikut susunan keutamaan.


Tunku Abdul Malik diputerakan 24 Sptember 1929 di Istana Anak Bukit, Kedah. Baginda merupakan putera ketiga kepada pasangan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Yang Amat Mulia Tunku Sofiah Binti Almarhum Tunku Mahmud. Kekanda sulung seibu dan sebapa baginda, Tunku Abdul Hamid Ibni Sultan Badlishah mangkat ketika kecil. Begitu juga adinda bongsu seibu dan sebapa baginda, Tunku Mansur Ibni Sultan Badlishah mangkat ketika berusia 2 tahun. Maka, tinggal 2 orang putera Sultan Badlishah dan Tunku Sofiah iaitu Tunku Abdul Halim dan Tunku Abdul Malik.

Tunku Abdul Malik mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran ke Kolej Sultan Abdul Halim, Alor Star. Baginda menyambung pendidikan ke peringkat tinggi di Wadham College, Oxford, United Kingdom.

Semasa dikurniakan Darjah Kerabat Selangor daripada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga merupakan kekanda ipar Tunku Malik. Turut kelihatan Almarhum Tengku Ampuan Rahimah, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Raudzah.

Ayahanda baginda mangkat pada 13 Julai 1958 dan digantikan oleh kekanda baginda Tunku Abdul Halim sebagai Sultan Kedah. Sultan Abdul Halim Muadzam Shah  berkenan untuk mengurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah kepada Tunku Abdul Malik pada 23 Februari 1959. Baginda pernah menjadi Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Kedah pada 21 September 1970 apabila kekanda baginda dilantik menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke 5. Tugas baginda sebagai Pemangku Sultan Kedah tamat pada 21 September 1975. Sudah ditakdirkan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah tidak dikurniakan zuriat lelaki. Maka, baginda berkenan melantik Tunku Abdul Malik sebagai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah berkuatkuasa 28 November 1981.

Yang Di Pertuan Agong Pertama Tuanku Abdul Rahman menepung tawar pengantin diraja Tunku Abdul Malik dan Tengku Raudzah semasa Istiadat Persandingan baginda berdua di Selangor.

Tunku Abdul Malik menamatkan zaman bujangnya apbila bertemu jodoh dengan puteri Sultan Selangor iaitu Yang Amat Mulia Tengku Raudzah Binti Sultan Hisamuddin Alam Shah AlHaj. Baginda berkahwin pada 16 Julai 1956 di Istana Bukit Kota, Alor Star. Tengku Raudzah diberikan gelaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah serentak dengan perlantikan Tunku Abdul Malik sebagai Raja Muda Kedah.

Kini, kedua-dua baginda telah berusia 86 tahun dan dalam keadaan uzur. Baginda lebih banyak berehat di istana dan jarang menonjolkan diri atas sebab kesihatan. Tugas pentadbiran negeri Kedah diambilalih oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dianggotai dua orang adinda baginda dan anakanda saudara baginda. Semoga Allah melanjutkan usia Raja Muda Kedah Tunku Abdul Malik dan Raja Puan Muda Kedah Tengku Raudzah.

Bersama kekanda baginda, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

Tunku Abdul Malik dan Tengku Raudzah di Balairong Seri Istana Alam Shah,Klang.

Bersama adinda ipar baginda, Almarhum Tengku Azman Sultan Hisamuddin.

Bersama Raja Puan Muda Kedah ketika berangkat ke Istana Alam Shah Selangor sempena Pertabalan Sultan Sharafuddin Idris Shah.
- jabatan penerangan malaysia-

2 comments:

  1. Hi
    Bagaimana boleh saya dapatkan gambar majlis persandingan Tunku Abdul Malik dan Tengku Raudzah?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi. seingat saya gambar persandingan tu ada dalam The Return sempena kali kedua Almarhum Sultan Abdul Halim menjadi Agong.

      Delete

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...