Anda Pengunjung Ke :

Thursday 24 January 2013

Maharani Farah Pahlavi: Maharani Dalam Buangan.


WARISAN PERMAISURI rasa terpanggil untuk menceritakan kisah hidup Farah Pahlavi selepas menonton sebuah dokumentari " The Queen and I" yang mengisahkan perjalanan hidup beliau selepas dibuang negeri bersama suaminya Maharaja Mohammad Reza Pahlavi pada tahun 1979.

Gelaran penuh beliau ialah HER IMPERIAL MAJESTY THE SHAHBANOU OF IRAN EMPRESS FARAH PAHLAVI,
Order of The Pleiades(Iran),Member Of The Royal Order Of  Seraphim(Sweden),Knight Of The Order Of The Elephant(Denmark),Knight Grand Cross Of The Order of The Netherlands Lions(Netherlands),Grand Cross Of The Legion d'Honneur(France),Dame Grand Cross Of The Order of the Queen of Sheba(Ethiopia),Grand Cross of the Order of Leopold(Belgium),Grand Cross Of The Order Of Saint Olav(Norway),Grand Cordon Of The Order Of Independence(Tunisia),Grand Cross Of The Order of the Southern Cross(Brazil),Grand Cross Of The Order Of The Liberator General San Martin(Argentina),Member 1st Class of the Order of the Yugoslav Star(Yugoslavia),Grand Star of The Decorations of Honour for Services to the Republic of Austria(Austria),Grand Cross Special Class of the Order of Merit of the Federal Republic of Germany(Germany),Member 1st Class Of The Order of Khorshid(Iran),Member Of The Order of the Crown of the Realm(Malaysia),Grand Cordon (1st Class) of The Order of The Precious Crown(Japan),Knight Of The Order Of The Royal House Of Chakri(Thailand),Dame of The Collar of the Order of Isabella the Catholic(Spain),Knight Grand Cross with Collar of the Order of Merit of the Italian Republic(Italy),Order Of Smile(Poland).


Dilahirkan sebagai Farah Diba pada 14 Oktober 1938,di Tehran dan berasal dari golongan atasan.Beliau merupakan bekas Permaisuri dan Maharani Iran.Merupakan balu kepada Allahyarham Maharaja Mohammad Reza Pahlavi dan merupakan satu-satunya wanita yang memegang jawatan Maharani semenjak pemerintahan pra Islam di Iran.Beliau menjadi Permaisuri Iran pada tahun 1959 sehingga 1967 dan menjadi Maharani bermula tahun 1967 sehingga tahun beliau dibuang dari Iran iaitu 1979.Walaupun pangkat keluarga diraja Iran telah dihapuskan oleh Kerajaan Islam Iran,sebagai bekas Maharani,beliau masih digelar sebagai " Her Imperial Majesty The Shahbanou (Empress/Maharani) Of Iran dan mengikut kepada protokol antarabangsa.Sebagai contoh,Amerika Syarikat,Denmark,Sepanyol,dan Jerman masih menggelarkan beliau sebagai Maharani Iran dalam dokumen-dokumen rasmi seperti senarai tetamu perkahwinan diraja.Farah Pahlavi telah dikurniakan dengan pelbagai darjah kebesaran dari seluruh pelusuk dunia termasuk Malaysia iaitu Darjah Seri Utama Mahkota Negara (D.M.N.) yang dikurniakan oleh Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin,Yang Di Pertuan Agong ke 4 semasa lawatan beliau dan suaminya ke Malaysia pada tahun 1968.Beliau juga memiliki keistimewaan di dalam negara-negara yang pernah mengurniakan darjah kebesaran kepadanya.

Memakai set penuh Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N.) sewaktu melawat Malaysia.

Beliau merupakan satu-satunya puteri kepada Kapten Sohrab Diba dan Farideh Ghotbi.Ayah Farah Pahlavi berasal daripada keturunan Azerbaijan.Sementara ibunya pula berketurunan Lahijan yang berasal dari kawasan pantai Laut Kaspian.Farah Pahlavi berasal dari keluarga yang mewah dan berpengaruh.Pada lewat kurun ke 19,datuk beliau menjadi seorang Diplomat ,berkhidmat sebagai Duta Iran ke Romanov,Moscow Rusia.Ayahnya pula merupakan pegawai Tentera Diraja Iran dan merupakan seorang lulusan Akademi Ketenteraan Perancis di St. Cyr. Farah Pahlavi sememangnya rapat dengan ayahnya.Namun kematian ayahnya secara mengejut pada tahun 1948 telah memberi kesan kepada Farah yang baru berusia 10 tahun ketika itu.Keluarganya pula menghadapi masalah kewangan sejurus selepas ayahnya meninggal dunia.Mereka sekeluarga terpaksa berpindah dari vila mewah mereka di Utara Tehran ke sebuah pangsapuri yang terpaksa dikongsi bersama bapa saudaranya.


Farah Pahlavi memulakan pendidikan beliau di Tehran Italian School ,seterusnya berpindah ke French Jeanne d'Arc School dan kemudian ke Lycee Razi.Beliau merupakan seorang atlet ketika zaman persekolahannya dan merupakan Kapten pasukan bola jaring sekolah.Beliau seterusnya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di Ecole Speciale d'Architecture di Paris,dimana beliau merupakan pelajar Albert Besson.Kebanyakan pelajar Iran yang berada di luar negara pada ketika itu bergantung kepada biasiswa kerajaan.Selalunya apabila Maharaja Iran membuat lawatan ke negara luar,beliau akan membuat perjumpaan dengan pelajar Iran.Farah Pahlavi pertama kali diperkenalkan kepada Mohammad Reza Pahlavi  ialah ketika perjumpaan di Kedutaan Iran di Paris pada tahun 1959.Selepas pulang ke Tehran pada musim panas tahun 1959,Farah dan Reza Pahlavi mulai rapat.Pasangan ini memaklumkan tentang pertunangan mereka pada 23 November 1959.



Farah mendirikan rumah tangga bersama Shah Mohamad Reza Pahlavi pada 21 Disember 1959 pada usia 21 tahun.Manakala Reza Pahlavi sudahpun berusia 40 tahun.Farah pada ketika itu menjadi bualan seluruh dunia dan perkahwinan mereka berdua mendapat perhatian media seluruh dunia.Gaun yang dipakainya di buat oleh Yves St Laurent,seorang pereka Dior dan beliau memakai Tiara Berlian Noor-ol Ain .Pasangan diraja ini dikurniakan dengan 2 orang putera dan 2 orang puteri:
His Imperial Highness Putera Mahkota Reza Pahlavi (lahir 31 Oktober 1960)
Her Imperial Higness Puteri Farahnaz Pahlavi (lahir 12 Mac 1963)
His Imperial Highness Putera Ali Reza Pahlavi (28 April 1966 - 4 Januari 2011)
Her Imperial Highness Puteri Leila Pahlavi (27 Mac 1970 - 10 Jun 2001).


Pada awalnya,tugas Farah sebagai seorang permaisuri adalah melahirkan zuriat lelaki untuk menjadi pewaris takhta Iran.Namun,selepas lahirnya Putera Mahkota,maka Farah bebas untuk menghabiskan masanya menghadiri majlis-majlis rasmi dan keraian.Farah pada mulanya hanya aktif dalam menghadiri dan merasmikan majlis-majlis,namun apabila masa berlalu maka peranannya menjadi lebih penting.Beliau secara aktif berperanan dalam memelihara hak wanita dan pembangunan budaya.Seterusnya beliau menjadi penaung kepada 24 persatuan pendidikan,kesihatan dan kebudayaan.Pada Istiadat kemahkotaan tahun 1967,Farah Pahlavi dimahkotakan sebagai Shahbanou atau Maharani Iran Moden.Suami beliau juga menamakan beliau sebagai Pemangku Maharaja jika sekiranya Maharaja Reza Pahlavi mangkat sebelum Putera Mahkota memcecah usia 21 tahun.Namun,menamakan wanita sebagai Pemangku Raja merupakan sesuatu yang di luar kebiasaan untuk Monarki Timur Tengah.


Pada awal tahun 1978,faktor yang menyumbang kepada ketidakpuasaan hati rakyat terhadap sistem beraja di Iran semakin ketara.Semakin hari rasa tidak puas hati makin memuncak yang kemudiannya membawa kepada tercetusnya demonstrasi membantah pemerintahan beraja.Rasa tidak senang semakin dirasai.Dalam keadaan ini,kebanyakan aktiviti rasmi Maharani terpaksa dibatalkan atas sebab keselamatan.Penghujung tahun 1978,keadaan politik Iran semakin tenat.Rusuhan dan kekacauan semakin membimbangkan.Keadaan ini memuncak pada bulan Januari 1979.Kerajaan telah menggubal undang-undang tentera di bandar-bandar utama Iran dan negara berada di ambang revolusi.Pada waktu ini,sebagai respon kepada bantahan-bantahan ganas,Maharaja dan Maharani Farah mahu meninggalkan negara Iran.Kedua mereka meninggalkan Iran menggunakan pesawat pada 16 Januari 1979.

Farah Pahlavi dan suami beliau bergambar di hadapan singgahsana Istana Selangor bersama Sultan Salahuddin dan Tengku Ampuan Rahimah.

Persoalan ke manakah Maharaja dan Maharani akan pergi setelah meninggalkan Iran menjadi topik perbincangan antara kaum kerabat dan penasihat diraja.Semasa pemerintahannya,Maharaja Reza Pahlavi telah mengekalkan hubungan yang akrab dengan Presiden Mesir Anwar El Sadat dan Maharani Farah juga bersahabat baik dengan isteri Presiden Mesir,Jehan El Sadat.Presiden Mesir menjemput mereka untuk tinggal di Mesir dan mereka bersetuju.Disebabkan keadaan politik yang tidak menentu di Iran,banyak kerajaan,termasuk yang rapat dengan Monarki Iran sebelum ini,melihat kehadiran Maharaja Reza dan Maharani Farah ke negara mereka sebagai liabiliti.Pasangan diraja ini menyedari akan hal tersebut.Mereka menyedari akan bahaya yang mereka bawa kepada negara tempat mereka berlindung.Akhirnya,Maharaja Reza dan Maharani Farah meninggalkan Mesir,memulakan perjalanan selama 14 bulan untuk mencari perlindungan kekal dan perjalanan ini membawa mereka melalui banyak negara berbeza.Selepas Mesir,mereka ke Maghribi ,di mana mereka telah diterima menjadi tetamu Raja Hassan II.


Selepas meninggalkan Maghribi,Maharaja Reza dan Maharani Farah diberi perlindungan sementara di Bahamas.Mereka dibenar untuk tinggal di sebuah pantai di Pulau Paradise.Maharani Farah melabelkan masa itu sebagai waktu paling gelap dalam hidupnya.Selepas visa Bahamas mereka tamat tempoh dan tidak diperbaharui,mereka membuat rayuan kepada Mexico dan rayuan mereka diterima.Pasangan ini telah menyewa sebuah villa di Cuernavaca berdekatan Bandar Mexico. Selepas meninggalkan negara Mesir,tahap kesihatan Maharaja Reza semakin menurun.Beliau selama ini bertarung dengan penyakit "non-Hodgkin's Lymphoma".Memandangkan penyakit suami beliau semakin teruk,Maharani Farah membawa suaminya ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan rawatan.Kehadiran pasangan ini ke Amerika memburukkan lagi hubungan antara Washington dengan Pencetus Revolusi di Tehran.Walaupun Maharaja Reza berada di Amerika untuk tujuan perubatan,tetapi ini menjadi titik permulaan permusuhan yang lebih teruk antara kedua negara.Akhirnya,keadaan ini membawa kepada serangan dan Kedutaan Amerika Syarikat di Iran telah diambil alih oleh Pencetus Revolusi.Krisis ini dikenali sebagai Krisis Tebusan Iran.Dalam keadaan yang semakin meruncing ini,Maharaja dan Maharani Farah tidak dibenarkan lagi untuk tinggal di Amerika Syarikat.Sejurus sahaja mendapat rawatan asas,mereka terpaksa meninggalkan Amerika dan menuju ke Pulau Contadora di Panama.Semasa di Panama,timbul pula spekulasi bahawa kerajaan Panama mahu mencari dan menangkap Maharaja Reza dan membawa beliau ke Iran.Lalu,pasangan ini membuat rayuan kepada Presiden Anwar Al Sadat untuk kembali ke Mesir.Rayuan mereka diterima dan mereka kembali ke Mesir pada Mac 1980 .Maharaja Reza Pahlavi mangkat empat bulan kemudian iaitu pada 27 Julai 1980 pada usia 61 tahun.



Selepas kemangkatan Maharaja Reza,Maharani Farah kekal tinggal di Mesir selama 2 tahun.Presiden Sadat memberi Maharani Farah dan keluarganya tinggal di Istana Koubbeh di Kaherah.Beberapa bulan selepas pembunuhan Presiden Sadat pada Oktober 1981,Maharani Farah dan keluarganya keluar dari Mesir.Presiden Donald Reagen memaklumkan bahawa Maharani Farah amat dialu-alukan untuk tinggal di Amerika Syarikat.Pada mulanya beliau menetap di Williamstown,Massachusetts tetapi kemudian berpindah ke Greenwich,Connecticut.Selepas kematian anakanda beliau Puteri Leila pada 2001,beliau membeli sebuah rumah yang lebih kecil di Potomac,Maryland berhampiran Washington D.C. untuk berada lebih dekat dengan anakanda dan cucunda beliau.Maharani Farah membahagikan masanya antara Washington dan Paris.Beliau juga membuat umrah pada bulan Julai setiap tahun dan menziarah ke Makam Maharaja Reza di Masjid Al Rifa'i di Kaherah.



Kini,Maharani Farah banyak menyokong badan-badan amal,termasuk "Annual Alzheimer Gala IFRAD ( International Fund Raising for Alzheimer Disease) yang diadakan di Paris.Maharani juga kerap memunculkan diri di majlis diraja antaranya Perkahwinan Putera Monaco Albert II pada tahun 2011,Perkahwinan Putera Mahkota Frederik dari Denmark pada tahun 2004,dan perkahwinan Putera Nikolaos dari Greece dan Denmark pada 2010.



Maharani Farah mempunyai 3 orang cucunda melalui anakandanya Putera Reza dan isterinya Yasmine.Mereka ialah Puteri Noor(3 April 1992),Puteri Iman(12 September 1993),dan Puteri Farah(17 Januari 2004).Beliau juga mempunyai lagi seorang cucunda melalui anakandanya Allahyarham Ali Reza dan isterinya Raha Didevar iaitu Puteri Iryana Leila(26 Julai 2011).

Farah Pahlavi bersama YTM Tunku Abdul Rahman Putra ketika suami beliau Maharaja Shah Reza menerima Ijazah Kehormat Universiti Malaya.



Pada tahun 2003,Maharani Farah menulis sebuah buku yang berkisar tentang perkahwinan beliau dengan suaminya .Buku itu bertajuk "An Enduring Love : My Life With The Shah"Penerbitan buku ini menarik minat antarabangsa.Buku ini merupakan buku terlaris di Eropah.Buku ini mendapat pujian di antara pengamal media antarabangsa.Kini,Maharani Farah telah berusia 82 tahun dan menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama ahli keluarganya dan juga majlis-majlis amal.Sesekali hatinya akan terusik apabila mengenangkan kampung halamannya di Iran.



Berikut antara gambar kenangan Maharani Farah Pahlavi :


Ketika kemahkotaan sebagai Maharani Iran.




Bersama Almarhum Sultan Idris Shah ketika mengadakan lawatan ke Negeri Perak.
Allahyarham Maharaja Mohamad Reza Pahlavi dan Maharani Farah Pahlavi.
Bersama anakanda dan cucunda beliau.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...