Anda Pengunjung Ke :

Wednesday 26 December 2018

YMM Almarhum Tuanku Puan Besar Kurshiah, Lambang Kedaulatan Wanita Melayu


Kali ini kita mengenali Wanita Melayu Pertama bergelar Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Baginda merupakan penanda aras bagi kemajuan wanita di Malaysia. Baginda merupakan puteri raja yang sangat sederhana, baginda yang dimaksudkan adalah Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Puan Besar Kursiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, D.K.(Negeri Sembilan),D.M.N.,S.M.N.,D.K.(Kedah).


YMM Tuanku Puan Besar Kursia diputerikan pada 16 Mei 1911 di Istana Baroh Seri Menanti, Negeri Sembilan. Merupakan puteri diraja Negeri Sembilan dan puteri sulung kepada YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Besar Burhanuddin Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Ayahanda baginda merupakan Tunku Besar Seri Menanti paling lama memegang jawatan iaitu selama 73 tahun. Ayahanda baginda juga pernah menjadi Pemangku Yang Di-pertuan Besar Negeri Sembilan. Bonda baginda ialah YABhg Che Puan Sharifah Alawiyah. Tuanku Kurhsiah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seri Menanti dan seterusnya mengikuti kelas bimbingan peribadi dalam bahasa Inggeris. Baginda mendapat pendidikan dan bimbingan yang secukupnya sebagai seorang puteri raja. 


Bertemu jodoh dengan DYMM Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad sebagai isteri ketiga pada 21 Mac 1929 di Sri Menanti ketika baginda berusia 18 tahun. Baginda dikurniakan 2 orang puteri di atas perkahwinan baginda berdua. Puteri sulung baginda ialah Almarhum DYMM Sultanah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Sultanah Kedah Darul Aman dan juga Raja Permaisuri Agong Ke-5. Seorang lagi puteri baginda ialah YAM Tunku Shahariah Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Tunku Puan Bendahara Johor. Dua orang menantu baginda pula ialah KDYMM Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan YAM Tunku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Ismail Al Khalidi.


Bergelar Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan bermula tahun 1933 ketika berusia 22 tahun apabila suami baginda diisytiharkan sebagai Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru menggantikan Almarhum Tuanku Muhammad Ibni Almarhum Tuanku Antah. Tuanku Kurshiah ditabalkan sebagai Tuanku Ampuan Besar di Istana Lama Seri Menanti pada 21 April 1934. Baginda menjadi Tunku Ampuan Besar selama lebih kurang 26 tahun sehingga tahun 1960. Pada tahun 1957, DYMM Tuanku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Pertama. Serentak dengan itu, Tuanku Kursiah telah ditabalkan menjadi Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Pertama Persekutuan Tanah Melayu. Baginda menjadi Raja Permaisuri Agong selama 3 tahun kerana suami baginda mangkat pada tahun 1960.


Banyak jasa dan sumbangan baginda semasa baginda menjadi Raja Permaisuri Agong.Pengalaman baginda selama 24 tahun sebagai Tuanku Ampuan Besar sebelum menjadi Raja Permaisuri Agong amat berguna. Bagindalah pengasas Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (Women Institute). Baginda juga mengasaskan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) dan Persatuan Pandu Puteri Tanah Melayu. Pada tahun 1954 semasa menjadi Tunku Ampuan Besar, baginda dilantik sebagai Presiden Pergerakan Pandu Puteri Negeri Sembilan dan Penaung Institut Wanita Negeri Sembilan. Pada tahun Mei 1961,walaupun baginda bukan lagi Raja Permaisuri Agong,baginda telah menubuhkan Majlis Kebajikan Wanita Islam dan menjadi Presidennya yang pertama.


Selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Abdul Rahman,Tuanku Kursiah menggunakan gelaran Yang Maha Mulia Tuanku Puan Besar Kursiah. Baginda meneruskan kehidupan baginda secara sederhana di Istana Seri Menanti. Baginda sering berangkat ke Istana Kuala Cegar untuk melawat puteri baginda Sultanah Bahiyah. Baginda juga aktif berpesatuan dan baginda sering mencemar duli ke majlis-majlis persatuan baginda. Pada 27 Oktober 1974,baginda dianugerahkan Pingat Emas Tun Fatimah oleh Majlis Wanita Kebangsaan di atas segala jasa baginda menaikkan taraf wanita dan kanak-kanak dari segi kebajikan dan pendidikan. 



Sebagai seorang Permaisuri, baginda telah dikurniakan beberapa darjah kebesaran sebagai mengiktiraf jasa baginda. Pada tahun 1958, baginda menjadi wanita pertama dianugerahkan gelaran Tun apabila dianugerahi Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) oleh suami baginda Tuanku Abdul Rahman. Baginda juga dianugerahi Darjah Kerabat Kedah (D.K) oleh menantu baginda Tuanku Abdul Halim pada tahun 1964 dan juga Darjah Kerabat Negeri Sembilan (D.K.) oleh anakanda tiri baginda Tuanku Jaafar. Pada tahun 1980, selepas 20 tahun baginda menuruni takhta sebagai Raja Permaisuri Agong, baginda telah dikurniakan darjah kebesaran yang tertinggi dianugerahkan kepada seseorang Permaisuri. Baginda telah dianugerahi Darjah Utama Seri Mahkota Negara oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-7 Sultan Haji Ahmad Shah. 

Sebagai salah seorang Permaisuri utama dalam negara, baginda mempunyai banyak talian persaudaraan diraja dengan kerabat negeri lain. Baginda telah mangkat pada 2 Februari 1999 di usia 88 tahun di Kuala Lumpur. Baginda mangkat pada pukul 4.50 petang didalam tidur. Baginda dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti, Negeri Sembilan bersebelahan Makam Almarhum suami baginda. 


Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan baginda terhadap negara,kerajaan telah nama Maktab Perempuan Melayu kepada Kolej Tunku Kursiah mengambil sempena nama baginda. Universiti Malaya juga telah menamakan Kolej Kediaman Universiti Malaya kepada Kolej Tunku Kursiah. Selain itu, nama baginda juga diabadikan pada tempat dan jalan seperti Jalan Tuanku Kurshiah di Seremban, Taman Tuanku Kurshiah di Seremban, SK Tunku Kurshiah dan SMK Tunku Kurhsiah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pejabat Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) juga diberikan nama Bangunan Tuanku Puan Besar Kurshiah terletak di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur. Al Fatihah buat Almarhum Tuanku Puan Besar Kurshiah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin. Semoga Allah S.W.T Mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.





3 comments:

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...